Oleh : Armie Aqry
Foto : Reza
Tipah Tertipu dan Da Bomb merupakan antara lagu yang menaikan nama kumpulan Ruffedge. Ketika nama dikemuncak, kumpulan ini dianggotai Cat Farish, Azan, Zain, Amer dan Sein. Itu dulu, Ruffedge seolah-olah tenggelam seketika apabila Amer dan Sein turut meninggalkan Ruffedge. Apakah tanpa mereka Ruffedge lumpuh?
Baru-baru ini Jomstar berkesempatan untuk mendapatkan sendiri jawapan daripada dua ahli anggota asal kumpulan ini, Azan dan Zain. Kehadiran mereka yang ditemani dua anggota baru Iwan dan Nine memberi tanggapan awal yang Ruffedge masih wujud dan tetap aktif dalam berkarya. Kata orang patah tumbuh, hilang berganti. Sekalipun hilang Cat, Sein dan Amer. Kehadiran dua anggota baru diharap dapat memberi sirna untuk Ruffedge meneruskan perjuangan mereka.
Sekalipun jarang muncul, rupa-rupanya empat anak muda ini sedang sibuk menyusun strategi memandangkan tidak lama lagi mereka bakal menghasilkan mini album yang memuatkan tiga buah lagu. Ditanya tentang dua anggota baru itu, Azan selaku wakil menjelaskan mereka adalah kawan lama dan memang mempunyai asas dalam bidang muzik. Kelebihan kumpulan ini selain daripada setiap ahli mampu menyanyi mereka juga berkemampuan mencipta lagu, menyusun serta menyunting sendiri
ALBUM TERKINI
Mini album memuatkan tiga buah lagu itu sedang dalam proses rakaman dan dijangka bakal diperdengarkan menjelang Jun ataupun Julai tahun ini. Single terbaru mereka juga bakal dilancarkan dalam bulan depan. Dengan dua anggota baru mereka bakal tampil dengan imej baru yang sudah pasti mengekalkan konsep R&B.
Mereka juga khabarnya bakal memberi pembaharuan daripada segi vokal, konsep dan kemungkinan mereka bakal berduet dengan penyanyi veteran.
"Banyak benda yang kita tak buat lagi. Banyak benda dalam R&B itu yang belum kita terokai. Kami bakal menampilkan muzik yang sama tetapi pasti ada kelainannya, jelas Azan ketika ditemui di studio rakaman milik kumpulan itu di Setiawangsa.
Menurut Azan lagi, mereka akan menggunakan kepakaran serta segala pengalaman yang ada. Mereka perlu mengingatkan peminat tentang kewujudan Ruffedge dan akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Tahun ini genap 10 tahun Ruffedge mewarnai persada seni tanahair. Sudah pasti pengalaman dalam tempoh itu lebih mematangkan dan mendewasakan mereka di dalam menghasilkan lagu-lagu yang menarik.
Album Keudara yang bakal dilancarkan itu adalah tanda penghargaan Ruffedge terhadap peminat mereka yang setia berdiri teguh memberikan sokongan kepada kumpulan ini. Hadirnya album ini nanti merupakan penampilan kali pertama buat Iwan dan Nine. "Kami akan cuba memberikan yang terbaik untuk Ruffedge dan yang pasti kami ingin bergerak seiring,"ujar keduanya ketika ditanya tentang perasaan dan hasrat mereka.
USAHAWAN FRANCHISE
Sekalipun tidak muncul dengan album dalam masa tiga tahun. Rupa-rupanya dalam diam keempat-empat anak muda ini sedang sibuk mengatur strategi perniagaan franchise mereka. Ruffedge bakal mengeluarkan produk makanan sendiri, 'Cheezy Dawg'. Menurut Azan syarikat franchise itu akan bernaung di bawah pengurusan Ruffedge.
Pemilihan makanan segera berupa Hot Dog itu menurut Azan merupakan salah satu pendekatan untuk merapatkan golongan muda yang gemarkan rentak kehidupan serba pantas. "Mereka boleh membeli makanan sambil berhibur dengan lagu-lagu kami. Ahli anggota kumpulan juga diberi peluang untuk membuka cawangan mereka sendiri. Malah ini juga memberi peluang perniagaan pada mereka yang berminat,"jelasnya penuh semangat.
Seperti yang umum ketahui sekitar awal tahun 2000 Ruffedge sendiri pernah mengeluarkan produk berjenama Ruffedge seperti, T-Shirt dan Jam. Malah beberapa produk lain lagi yang menggunakan jenama kumpulan itu. Usaha ini membuktikan Ruffedge bukan sahaja mampu bekarya malah mereka juga terdiri daripada anak muda yang gemar menerokai bidang perniagaan. Ini adalah contoh yang patut ditauladani oleh artis-artis lain di negara ini. Sekalipun tanpa album mereka masih mengusahakan sesuatu untuk memastikan Ruffedge memenuhkan masa mereka dengan pelbagai aktiviti.
Mereka juga ingin mendalami ilmu perniagaan dalam bidang muzik. Azan sendiri aktif di dalam menghasilkan komik malah dia sempat menunjukkan hasil kerjanya kepada Jomstar. Ternyata dia seorang yang berbakat.
Bukan sahaja pandai mencipta lagu malah pandai melukis dan menghasilkan kartun-kartun dengan mesej tersendiri. Kumpulan ini juga mempunyai minat mengumpul kasut 'sneaker' dengan pelbagai warna. Setiap seorang daripada mereka mempunyai koleksi lebih daripada satu. Zain yang bakal menamatkan zaman bujangnya akhir tahun ini gemar mengumpul jam dan T-shirt. Lebih menarik lagi mereka mula menyumbang kepada perpaduan umah dengan membayar Zakat.
THE DESIGNERS
Ruffedge bercita-cita tinggi. Mereka bukan sahaja ingin memajukan kumpulan sendiri malah artis-artis lain yang berbakat. Tertubuhnya The Designers akan memberi ruang kepada penyanyi baru atau lama untuk melebarkan lagi pengetahuan mereka. Syarikat yang bernaung di bawah Ruffluv Sdn Bhd itu berperanan untuk memberi peluang kepada penyanyi mencipta lagu secara spontan di studio mereka.
"Secara tak langsung The Designers menjadi payung kepada artis-artis lain dan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari cara mencipta lagu. Sekurang-kurangnya mereka tidak sahaja bergantung pada vokal malah lebih versatile di dalam berkarya,"jelas Azan tentang misi The Designers.
Mereka telah memulakan program itu dengan memilih penyanyi sahaja. Penyanyi yang terpilih perlu mencipta lagu secara spontan ketika muzik dimainkan. Menarik bunyinya. Apa pun semoga Ruffedge terus tabah meneruskan perjuangan mereka.
credit article and photo to
JomStar