Friday, August 8, 2008

Ruffedge Belum Berkubur

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


ZAIN (kanan) bersama anggota Ruffedge iaitu (dari kiri) Cat, Sein, Azan dan Amer ketika pada zaman kegemilangan mereka. Bagaimanapun, ketika ini, hanya Zain dan Azan saja anggota asal yang tinggal selain anggota baru Nine dan Iwan.



KETIKA kemunculannya sekitar tahun 1998, kumpulan Ruffedge yang pada awalnya dianggotai empat anak muda sememangnya cukup dikenali.

Pernah popular menerusi lagu Tipah Tertipu dan Marilah Bergoyang, banyak perkara telah dilalui mereka sepanjang 10 tahun penglibatan dalam industri muzik tempatan.

Beberapa kali bertukar ahli, entah bagaimana, Ruffedge kini dianggap bagaikan sudah berkubur lantaran menyepi daripada album baru serta tawaran mengadakan persembahan yang tidak sekencang dulu.

Bagaimanapun, Ruffedge sebenarnya masih bernyawa dan ia dianggotai Zain dan Azan selaku pengasas kumpulan itu di samping dua ahli baru iaitu Nine serta Iwan.

"Kami masih ada lagi. Apa yang membuatkan Ruffedge semakin tenggelam adalah kerana ketiadaan lagu baru manakala persembahan juga agak kurang.

"Namun, kami akan bangkit semula dan kini baru sahaja merakamkan dua buah lagu baru iaitu Jangan Berhenti dan Rintihan Pengemis," ujar Zain atau nama sebenarnya Mohd. Kamaruzaman Zain, 30, kepada Hits pada sesi fotografi di studio Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, Ruffedge pernah berada di kemuncak populariti dan usaha untuk mengembalikan kegemilangan kumpulan itu sedang berjalan.

Kata Zain, melalui dua buah lagu terbabit, ia akan dipasarkan tidak lama lagi menerusi single terbaru Ruffedge.

Ruffedge ditubuhkan pada 1998 dengan anggota asalnya iaitu Zan, Azan, Cat dan Azim.

Apabila Azim keluar daripada Ruffedge pada 2000, tempatnya digantikan dengan Mode.

Bagi memantapkan vokal setiap ahli, Ruffedge kemudiannya menambah seorang lagi anggota iaitu Amer.

Mode tidak lama dengan Ruffedge apabila bertindak meninggalkan kumpulan itu pada 2005.
Sein pula kemudiannya dibawa masuk ke dalam Ruffedge.

Sungguhpun begitu, Cat mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri pada penghujung 2005 dan diikuti oleh Sein serta Amer, Jun tahun lalu.

Mengendalikan Wakenabeb!

Sementara itu, Zain yang dilahirkan pada 19 April 1978 dipilih untuk menjadi hos bagi program popular ntv7, Wakenabeb! musim ketiga.

Merupakan kali pertama dirinya bergelar pengacara, Zain mengakui dia masih belajar untuk menjiwai watak sebagai pengacara.

"Bukan senang menjadi pengacara. Lagipun, Wakenabeb! bukanlah rancangan bercorak kanak-kanak.

"Kalau ada yang tidak suka cara saya mengendalikan rancangan itu, hendak buat macam mana kerana saya tidak mampu memuaskan hati semua pihak," jelasnya.

Wakenabeb! merupakan rancangan realiti 30 minit yang bertujuan untuk mengusik selebriti tempatan.

Musim ketiga yang bersiaran sejak 23 Julai lalu iaitu setiap Rabu mulai 9 malam, selebriti yang 'terkena' dipilih melalui pencalonan peminat atau rakan kepada selebriti terbabit.

Selain selebriti, krew Wakenabeb! turut akan menyertai komplot mengenakan orang ramai berdasarkan cadangan yang diterima daripada penonton.

Pemilihan Zain sebagai pengacara musim ketiga adalah berdasarkan kepada sifatnya yang peramah, suka berjenaka dan memerhatikan kelakuan orang lain.

Ujar Zain, mengendalikan Wakenabeb!, ia merupakan satu cabaran besar buatnya.

"Saya sedia menerima kritikan kerana saya masih baru dalam dunia pengacaraan," tambahnya.

Selain menyanyi dan mengacara, sebelum ini Zain bersama Ruffedge pernah berlakon di layar perak melalui filem Tipah Tertipu dan Castello.

Akhiri zaman bujang malam ini

Semua orang sedia maklum Zain akan menamatkan zaman bujangnya malam ini.

Pasangan yang berjaya mencuri hati Zain ialah Khazmira Anuar, 25, yang dikenalinya sejak setahun lalu.

"Sudah tentu saya sedang berdebar untuk bernikah malam ini.

"Kami kenal tidak lama dan majlis akad nikah akan diadakan di rumahnya di Kajang, Jumaat ini," jelas Zain sambil memohon para peminat mendoakan kebahagiaan dia dan bakal isterinya itu untuk menempuh kehidupan berumah tangga.


Nota kaki: Kami, Moderator blog, ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Zain dan pasangannya, Kazmira Anuar. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat.Wish you a wonderful and blessed marriage.

Credit article to Utusan Malaysia Online

No comments: